Diakui pada awalnya, sesiapa sahaja agak sukar untuk menerima apatah lagi menyokong keputusan Sdr Rafizi untuk bertanding jawatan Ketua AMK. Logik akal mengatakan ini bukan sahaja mustahil, malah dianggap sebagai kerja gila. Percaturan politik yang langsung tidak menyebelahi beliau sehinggakan ada mereka yang ‘opportunist’ mengelak diri daripada dianggap seteru dengan beliau.
Namun, ada juga pihak yang berani tampil memberi sokongan secara terbuka. Semangat untuk memperjuangkan nasib orang muda yang saban hari terus dipinggirkan yang memerlukan pendekatan berbeza dijadikan asas perjuangan. Berbekalkan kepercayaan tersebut, perbincangan sulong telah diadakan bagi menggariskan halatuju sepasukan. Kata sepakat dicapai iaitu perlunya anjakan daripada politik lama dengan suntikan semangat menuntut perubahan, maka lahirlah Generasi Reformasi.
Seperti yang telah dijangkakan apabila desas-desus Rafizi akan bertanding mula diketahui umum, sesetengah pihak menentang keputusan tersebut. Pelbagai andaian dibuat malah ada yang melempar tomohan liar yang tidak berasas sama sekali. Sebilangan daripada kami yang mengerti keperitan yang ditanggung oleh Rafizi bersedia untuk membalas serangan tersebut namun lantas dihalang sendiri oleh beliau.
Kami diingatkan tentang tujuan asal dalam mengetengahkan isu-isu orang muda. Maruah dan adab perlu dijaga. Jangan mudah terikut dengan cara lama yang akan memesongkan niat perjuangan . Hujah beliau memberi keyakinan kepada kami dalam mencanang definisi pendekatan politik baru.
Maka kami yang bergerak sebagai sebuah pasukan mengambil pendekatan untuk tidak cepat melatah dan gelojoh dalam memburukkan yang lain. YB Nik Nazmi selaku orang yang telah lama mengenali Rafizi tampil memperbetulkan kesilapan tanggapan sesetengah pihak. Terbukti kematangan dan kesabaran dalam kepimpinan amat diperlukan bagi memantapkan pasukan.
Pengumuman barisan Generasi Reformasi pada minggu lepas rata-rata mendapat sambutan yang baik daripada pelbagai pihak. Gandingan yang terdiri daripada mereka yang mempunyai latar belakang berbeza menjadi sandaran dalam kebersanan memperjuangkan suara anak muda. Kesediaan menerima tanggungjawab dan keterbukaan dalam mendengar masalah-masalah yang dihadapi oleh golongan muda menjadi aspirasi kekuatan kita. Sokongan yang diberikan ke atas Generasi Reformasi bukti soliraditi kita semua dari segi semangat, kepercayaan dan kemampuan untuk menerajui negara suatu masa nanti.

